PENGIKUT MC2B

Khamis, April 18

PERTAMA KALI MEMBAWA BAYI PULANG

ASSALAMUALAIKUM semua.....

Selepas dilahirkan, anda tentu rasa tidak sabar untuk membawa anak baru anda pulang ke rumah. Dalam rasa tidak sabar itu, kadang kala terdetik dalam hati, bolehkah saya jadi bapa terbaik? Mampukah saya memberikan layanan yang sewajarnya kepada anak? Sesuaikah persekitaran rumah untuk anak? Mampukah saya pastikan rumah sebersih hospital demi kesihatan anak?

Sememangnya beribu persoalan akan muncul di benak fikiran anda. Namun, dengan persediaan rapi dari segi mental dan fizikal, nescaya kita tidak akan menghadapi banyak masalah walaupun baru pertama kali menimang cahaya mata.

Pemeriksaan Lengkap
Biasanya, sebelum dibenarkan meninggalkan hospital selepas bersalin, doktor akan melakukan pemeriksaan. Hal ini perlu untuk memastikan isteri dan anak anda benar-benar sihat sebelum dibenarkan pulang. Pemeriksaan lengkap juga penting untuk mengelakkan sebarang komplikasi timbul ketika di rumah kelak.

Pada hari isteri dibenarkan pulang, eloklah anda dapatkan bantuan ahli keluarga kerana wanita yang baru lepas bersalin, kurang tenaganya. Bantuan diperlukan untuk mendukung anak dan menjaga kedua-duanya semasa di dalam kenderaan.

Ketika itu, pastikan bayi anda dipakaikan dengan pakaian yang benar-benar sesuai. Tidak terlalu terdedah kepada cahaya dan tidak pula terlalu tertutup. Yang pentingnya, elakkan daripada terdedah kepada pencemaran udara.

Rancanglah Perjalanan Anda
Selain itu, rancanglah perjalanan anda. Pastikan jalan yang digunakan itu bebas daripada sebarang kerosakan. Elakkan daripada menggunakan jalan yang sedang dalam pembinaan atau yang rosak. Keadaan jalan yang tidak rata boleh menyakitkan badan isteri anda kerana badan ibu yang baru bersalin sangat sensitif.

Setelah berada di rumah, pastikan isteri anda tidak banyak bergerak. Suruh dia banyak berehat dan jangan mendesak diri melakukan kerja-kerja rumah.

Berhati-hati
Untuk pengetahuan anda, wanita yang baru bersalin mudah letih terutama ketika minggu-minggu pertama selepas melahirkan. Keadaan ini terjadi akibat daripada perubahan hormon dalam badan. Oleh itu, rehat yang secukupnya sangat perlu. Anda juga dinasihatkan agar jangan terlalu dedahkan anak kepada ramai orang kerana bayi sangat sensitif terhadap persekitarannya. Bayi mudah dijangkiti penyakit kerana sistem antibodinya belum sempurna. Untuk memastikan kesihatan anak terjaga, hanya benarkan orang yang sihat dan bersih sahaja memegangnya.

Anda mungkin perlu mengambil cuti selama beberapa hari untuk membantu isteri menghadapi situasi selepas bersalin bersama-sama. Inilah masanya bagi anda untuk memberikan sokongan moral dan tenaga kepada isteri tercinta. Dalam masa yang sama, dapatlah anda belajar cara-cara menjaga bayi yang baru lahir.

Dapatkan Bantuan
Melalui minggu-minggu pertama bersama anak memang mencemaskan. Banyak perkara baru akan berlaku. Jangan risau. Mintalah bantuan ibu mertua ataupun ibu anda sendiri. Semasa bersama mereka, timbalah seberapa banyak pengetahuan yang boleh sebagai bekalan pada masa depan. Jika tidak ada adik-beradik ataupun saudara-mara terdekat yang dapat membantu, mintalah bantuan bidan-bidan yang bertauliah. Bidan-bidan ini banyak ilmunya yang pastinya dapat membantu anda.

Jangan Takut
Semasa anda bersama bayi, jangan takut untuk memegang atau membelainya. Sama seperti kita, bayi suka disentuh dan dibelai. Walau bagaimanapun, anda kenalah berhati-hati agar tidak mencederakannya. Jika anak menangis, janganlah rasa cemas. Periksa mengapa dia menangis. Untuk pengetahuan anda, bayi menangis mungkin kerana dia lapar, lampinnya basah, dia rasa mengantuk atau rasa tidak selesa. Perhatikan mana satu penyebab bayi anda menangis. Semasa bersama bayi, eloklah anda berbual-bual, senyum dan bermain-main dengannya. Cara ini dipercayai dapat merangsang deria anak dan membangkitkan rasa kasih sayang antara anda berdua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan