hari nie entri pertama MC2B ialah mengenai PERSEDIAAN MENYUSUKAN ANAK ANGKAT
al-maklum la tak lama lagi MC2B akan mengambil anak angkat...bagi yang senaseb sama seperti MC2B jom kita kongsi sama2 ok..
Ibu angkat mampu menyusukan anak angkatnya! Walau bagaimanapun, terdapat beberapa persediaan yang perlu perhatian rapi sebelum anda memulakan niat murni itu.

Amalan penyusuan oleh ibu selain ibu kandung bermula sejak zaman purba Roman. Dalam sejarah ketamadunan Islam pula, Rasulullah sendiri disusukan oleh ibu susuannya. Kini, masyarakat mula mengadapatasi konsep ibu susuan dalam amalan pengambilan anak angkat. Melalui penyusuan susu ibu, dipercayai hubungan antara ibu dan anak dapat dieratkan. Jika cukup syarat, anak tersebut menjadi anak susuan dan mahram kepada ibu dan ayah angkatnya.

Persediaan pertama demi merealisasikan impian menyusukan anak angkat perlu bermula dengan kaunseling bersama perunding laktasi atau kaunselor laktasi. Anda dan suami amat digalakkan untuk melaluinya. Ia bertujuan menyediakan mental dan fizikal sebelum menunaikan tanggung jawab memelihara anak angkat. Lakukannya dengan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum bayi diambil.

Di dalam sesi kaunseling, anda berdua akan dimaklumkan mengenai proses yang bakal dilalui secara keseluruhan. Latar belakang akan diselidik daripada segi kesihatan, kemampuan dan kelapangan masa. Anda juga akan dimaklumkan tentang kesan sampingan jika ada, semasa proses cetusan laktasi berlaku. Seterusnya anda biasanya diberi pilihan pelan yang bakal dilalui bersesuaian dengan latar belakang masing-masing bagi membolehkan pengubahsuaian gaya hidup bersesuaian dengan kehadiran bayi yang bakal ditimang.

Apabila bayi diambil, anda harus memulakan “ikatan” dengan bayi. Hal ini boleh dilakukan sendiri di rumah. Caranya ialah melakukan sentuhan kulit ke kulit dengan meletakkan bayi di atas dada.

Tujuannya ialah mewujudkan hubungan rapat yang pada masa bertindak sebagai sesi perkenalan dantara ibu dan anak. Dalam masa yang sama, suami turut digalakkan melakukan perkara yang sama.

Secara semula jadi, bayi tahu cara untuk mencari payu dara. Jadi, beri peluang kepada dia dengan membenarkan dirinya mengenali anda dengan lebih dekat. Ketika melalui proses ini, jangan paksa diri dan banyakkan bersabar sekiranya perlu menempuh beberapa cabaran yang tidak diingini.

Apabila bayi sudah membiasakan diri, dia dengan sendirinya akan memulakan proses penyusuan. Bertenang dan yakinkan diri walaupun tahu susu ibu belum ada. Oleh itu, biarkan bayi menghisap atau melekap pada payu dara. Langkah seterusnya, anda perlu memperlajari dan mengetahui serba sedikit posisi penyusuan yang bersesuaian agar proses penyusuan akan datang dapat berlangsung dengan lancar.

Ganjaran Untuk Bayi
Setelah bayi berjaya melekap pada payu dara, dia perlu diberi “ganjaran” atas usaha hebat yang dilakukannya. Dengan ganjaran yang munasabah, bayi akan kekal melekap di payu dara dan meneruskan hisapan. Pada masa yang sama merangsang payu dara untuk menerima isyarat seoalah-olah anda sedang menyusu secara normal. Antara kaedah yang boleh digunakan untuk memberi ganjaran kepada bayi adalah :

1. Titisan Susu
Dalam keadaan bayi melekap pada payu dara, titiskan susu gantian yang terkandung di dalam botol susu perlahan-lahan ke mulut bayi. Picit sedikit-sedikit atau anda boleh sudukan susu di tepi bahagian payu dara menghala ke mulutnya. Titiskan serapat mungkin dengan mulut bayi.

2. Gunakan Tiub
Hujung tiub khas dilekatkan pada payu dara manakala hujung satu lagi berada dalam bekas yang mengandungi susu gantian. Ini membolehkan bayi menerima susu gantian melalui tiub semasa dia menyusu pada payu dara.

3. Bantuan Supplemental Nursing System
Secara fungsinya, alat ini sama dengan kaedah kedua tetapi dalam sistem peralatan ini, kesemua peralatan dibekalkan di dalam pakej. Antara alat yang ada ialah bekas penyimpan susu, tali untuk menggantung peralatan di leher, tiub dalam tiga saiz berbeza bersesuaian dengan kelajuan aliran susu yang diperlukan bayi dan pita pelekat untuk melekatkan tiub pada payu dara. Sama seperti pilihan lain, ia membolehkan bayi melekap dan menyusu pada waktu yang sama.

Kunci utama dalam menjayakan matlamat menyusukan anak angkat adalah penghasilan hormon prolaktin dan oksitoksin di dalam tubuh. Kedua-dua hormon ini boleh dicetuskan apabila tubuh anda menerima rangsangan penyusuan secara berterusan dengan kerap setiap hari. Hormon prolaktin berfungsi menghasilkan susu. Manakala hormon oksitoksin pula berperanan memancutkan susu keluar daripada payu dara. Memandangkan kedua-dua hormon ini dirembes oleh kelenjar pitituari di bahagian otak, maka ia langsung tiada kena dengan rahim. Oleh kerana itu, anda yang belum pernah hamil atau melahirkan bayi juga berupaya menghasilkan susu.

Oleh yang demikian, anda perlu merangsang penyusuan antara 10 hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam. Biarpun di waktu malam, anda masih perlu melakukannya. Setiap kali bayi menunjukkan tanda-tanda mahu menyusu, anda perlu melakukan pilihan kaedah yang disebutkan. Sebaik-baiknya lakukannya sebelum bayi mengamuk agar tidak menjejaskan usaha anda untuk menyusukannya secara terus daripada payu dara kelak.

Pemerahan menggunakan tangan mahupun pam payu dara adalah usaha tambahan yang boleh dilakukan dalam merangsang penghasilan susu. Malah antara usaha lain yang boleh dilakukan ialah dengan mengambil herba-herba yang diyakini dapat meningkatkan pengeluaran susu. Walau bagaimanapun, dapatkan nasihat perunding laktasi terlebih dahulu sebelum mencuba mana-mana herba. Hal ini penting agar anda tahu jenis-jenis herba yang sesuai dengan diri anda.

Sama juga halnya dengan makanan-makanan yang sering menjadi amalan masyarakat dalam usaha menambah susu ibu. Antara yang boleh dipertimbangkan ialah buah longan, jantung, pegaga, ikan yu, sayur-sayuran hijau dan sebagainya. Apa-apa pun, anda dinasihatkan untuk mengambil satu jenis makanan dalam satu-satu masa. Jadi, apabila timbul masalah berbangkit, anda dengan mudah dapat mengesan jenis makanan yang tidak boleh diambil.