PENGIKUT MC2B

Jumaat, April 19

PENGURUSAN URI BAYI



Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu-Islam kita, setiap kali bayi dilahirkan, uri atau dikenali sebagai placenta, dan juga disebut tembuni yang keluar bersama bayi ketika kelahiran ditanam.

Namun, terdapat pelbagai 'kaedah' pengurusan uri bayi yang diamalkan oleh masyarakat kita, bahkan sesetengahnya ada yang pelik-pelik dan menimbulkan kesangsian di hati saya, apakah ianya bersumberkan daripada Islam atau pun tidak.

Contoh amalan pelik menanam uri bayi yang masih diamalkan dalam masyarakat kita ialah:

1. Menanam uri bersama pensil dan buku, dengan harapan bayi tersebut akan cepat pandai kelak.
2. Meletakkan paku dan benda-benda tajam bersama uri yang ditanam, kononnya untuk mengelakkan uri tersebut didekati 'benda-benda halus'.
3. Menyalakan unggun api berhampiran tempat ditanam uri kerana bimbangkan 'kembar bayi' itu kesejukan pada waktu malam.
4. Uri ditanam bersama kepingan duit syiling.

Dan pelbagai lagi amalan yang pelik-pelik. 

Dan, hasil sedikit kajian bersumberkan internet yang dibuat, kaedah pengurusan uri bayi menurut Islam adalah seperti berikut:


1. Hukum menanam uri bayi adalah harus.

2. 
Uri tersebut perlu dibasuh dan ditanam di dalam tanah supaya ia tidak dimakan oleh haiwan. 

3. Uri orang-orang Islam adalah suci dan dengan itu tidak boleh di bakar atau dijual. Mana-mana orang Islam yang melahirkan anak di hospital dikehendaki membawa balik uri-uri itu untuk di tanam di tempat masing-masing. 

4. Amalan menanam uri bayi dengan lada hitam, paku dan sebagainya adalah amalan khurafat.

Kesimpulan daripada jawapan badan yang berautoriti di atas, jelas kepada kita bahawa setiap uri perlu ditanam bagi mengelakkan bau busuk ataupun dimakan oleh binatang. Dan, merujuk kepada amalan sesetengah masyarakat kita yang membasuh uri tersebut terlebih dahulu dengan asam keping dan garam, saya berpendapat ianya harus bagi menghilangkan bau pada uri tersebut.

Dan, uri tersebut hanya perlu ditanam seperti biasa, bukan mengkafankannya seperti jenazah, dan semua amalan pelik yang dinyatakan di atas tidak bersumberkan al-Qur'an atau as-Sunnah, bahkan berdasarkan kepercayaan karut-marut masyarakat Melayu yang diwarisi turun-temurun.

Semoga, kita dapat menghindarkan diri daripada amalan khurafat ini, yang dibimbangi boleh menjejaskan aqidah kita tanpa sedar.

glitter-graphics.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan